Thursday, June 10, 2010

Termos Merah

   Berlari-lari gadis bersaiz kecil itu menaiki tangga ke kamar Anggerek. Dia terlupa akan janjinya akan bertemu Yana malam itu. Langkah dipercepatkan sambil mata mengerling jam di tangan dan otaknya ligat memikirkan alasan yang bakal diberi nanti.

   Ain tarik nafas panjang-panjang. Dengan lafaz Bismillah, dia mengetuk pintu kamar Anggerek. Jantung berdegup laju seperti baru menamatkan larian 100 meter.

“Masuk!” Suara nyaring dari dalam bilik yang sering membuatkan dia kecut perut itu kedengaran.
.
   Ain membetulkan tudungnya sebelum memulas tombol pintu. Ya Allah, selamatkan aku! Pintu ditolak perlahan-lahan.

   Panahan mata Yana yang tajam itu menikam tepat ke anak mata Ain. Ain tunduk, tidak berani bertentang mata dengan seniornya itu.

   “Kenapa lambat? Kau ingat aku ni siapa nak tunggu kau?”

   Ain tetap tidak angkat muka. Lebih baik diam dari berkata-kata.

   Yana letak majalah Yezz! di tangannya ke tepi katil. Dia mendekati Ain yang berdiri ditepi pintu.

   “Kau dengar tak? Kenapa tak jawab?” tengkingnya geram.

   Ain tetap membisu.

   “Hoi, jawab aku lah!”

   Senyap lagi. Hujung jari kaki Ain menguis permaidani kecil di tepi pintu kamar itu.
 
   Pang! Telapak tangan Yana singgah di pipi Ain. Senget tudung pelajar tingkatan satu itu dek tamparan yang kuat itu.

   Mata Ain dah berair. Dia tahan supaya tidak menitis jatuh. Tamparan yang bukan julung-julung kali diterimanya.

   “Aku marah sikit dah menangis. Ingat aku kesian ke?” Yana menyindir sinis.

   Pintu ditolak dari luar. Laili teman sebilik Yana masuk dengan wajah mengantuk. Buku Biologi di tangannya diletak ke atas meja belajar.

   “Kenapa Ain?” tegurnya apabila melihat mata juniornya itu berair dan merah.

   Yana tarik muka. “Baru marah sikit dah menangis. Menyampah betul aku.”

   Laili geleng kepala melihat kesan merah di pipi Ain. “Kau ni Yana, janganlah pukul-pukul anak orang. Kesian dia.”

   “Ala, dulu aku kena sepak terajang lagi. Apa aku kisah?”

   Laili rebahkan tubuhnya ke katil. “Suka hati kau lah. Tapi jangan menyesal kalau jadi apa-apa pada dia nanti. Aku tak mahu masuk campur.”

   Yana peluk tubuh. Dia memerhati Ain yang mengelap pipinya yang sudahpun basah.

   ‘Mengada-ngada.’ Matanya mengerling jam di dinding. Pukul 11 malam.

   “Ambil termos ni. Pergi ambil air panas. Aku nak makan maggie. Pandai-pandailah kau nak cari.”

    Ain angguk perlahan dan menyambut termos kecil merah itu dengan tangan separuh menggigil. Dia sarung sandalnya dan cepat-cepat keluar dari bilik itu.

   Mana nak cari air panas? Pemanas air di bilik rehat sudah rosak. Para pelajar pula memang tidak dibenarkan membawa cerek elektrik. Dewan makan pula sudah tutup.

   Dia mengeluh perlahan. Pipinya yang terasa perit tadi disentuh. Kalau dia gagal menunaikan arahan Yana lagi kali ini, pasti sebelah lagi pipinya pula yang menjadi mangsa.

   Ain tiba-tiba teringat water cooler yang terletak di blok pentadbiran. Water cooler itulah satu-satunya yang berfungsi dengan baik. Air panasnya pula betul-betul panas seperti baru dimasak.

   Ain senyum. Langkahnya di atur girang ke blok pentadbiran. Pasti dia tidak akan dimarahi lagi kali ini.


   Ketukan bertalu-talu di pintu menyedarkan Yana dari lena. Dia menggosok-gosok mata sambil turun dari katil. Siapa yang datang malam-malam ni?

   Pintu dibuka. Tiada orang.

   “Siapa ni? Main-main pulak.” Yana tutup pintu kembali. Baru sahaja dia hendak naik semula ke katil, pintu diketuk lagi.

   Yana mandengus.  ‘Tadi tak mahu masuk.’

   Tiada orang juga. Kali ini Yana rasa tidak sedap hati. Dia tutup pintu. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Tidak mungkin masih ada pelajar yang masih berjaga waktu-waktu begini?

   Yana naik cepat-cepat ke katil.  Bulu romanya sudah meremang. Seram.

   Pintu diketuk sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Yana renung pintu itu. Semakin lama, semakin kuat. Sampaikan bagai hendak tercabut pintu itu.

   Yana teringat Laili di katil atas. Dia cepat-cepat mengajutkan Laili. Tapi sedikit pun kawannya itu tidak berkuit. Sedangkan selalunya Laili mudah terjaga.

   Yana ketakutan. Bunyi ketukan sudah berhenti, tapi berganti dengan bunyi seakan-akan pintu dicakar. Kuat sungguh bunyinya. Mustahil binatang boleh mencakar sekuat itu.

   Yana tekup telinganya dengan bantal. “Pergi!” jeritnya sekuat hati.

   Bunyi itu lebih kuat lagi. Kedengaran pula bunyi seseorang sedang ketawa mengekek.
 
   Yana hampir menangis.

   Keadaan reda tiba-tiba. Yana diam menggigil di dalam selimutnya. Perlahan-lahan, dia mengangkat bantal yang menutupi mukanya.

   Ain berdiri di tepinya dengan darah yang membuak keluar dari dahinya yang terkoyak. Tangannya  yang kecil itu memegang kuat tangan Yana.

   “Ain, maafkan aku. Aku takkan buli kau lagi!” Yana sudah menangis tersesak-esak. Dia takut. Dia takut Ain marah dan ingin membalas dendam padanya.

   Ain ukir senyum. Senyum aneh yang menakutkan. Dia mengheret Yana keluar dari bilik itu.

   Yana menjerit apabila Ain yang bertubuh kecil itu mengangkat kakinya dan menolaknya jatuh.  “Jangan Ain!!”

   Yana pejam mata. dia terasa tubuhnya melayang jatuh ke bawah dari biliknya di tingkat lima itu.


   “Aghh!!” Yana tersedar. Tubuhnya berpeluh-peluh. Dia mengucap panjang. Mimpi rupanya. Yana toleh ke arah Laili yang masih nyenyak. Dia meraup mukanya. Mimpi apakah itu?

   Pintu diketuk, Ain telan liur. Jam menunjukkan pukul tiga, sama seperti mimpinya tadi.
Yana memberanikan diri membuka pintu.

   “Akak, ni air panas.” Termos kecil berwarna merah dihulur.

   “Kau rupanya Ain, terkejut aku. Dia menyambut termos itu dari tangan Ain. Lega hatinya melihat Ain.

   Ain senyum sebelum berlalu.

   “Ain!” Yana memanggil, serba salah.

   Ain berhenti tapi tidak menoleh.

   “Maafkan aku ya.”

   Tiada sebarang reaksi, dan Ain terus menghilang di sebalik dinding untuk menuruni tangga.

   Yana tutup pintu. Tiba-tiba berasa kasihan pada junior yang dibulinya itu.  Marahkah Ain padanya?

   Termos merah diletak di atas meja belajar. Perut terasa lapar. Cadangnya hendak memasak Maggie sebelum tidur tadi. Tetapi Ain tidak kelihatan dan dia tertidur dengan perut kosong.


   “Ain!” Laili berlari masuk ke bilik. Mukanya pucat.

   Yana yang sedang menelaah buku Kimianya terperanjat. Cermin mata ditanggalkan dan diletak ke tepi buku.

   “Kenapa?” tanyanya hairan.

   “Ain..” putus-putus nafas Laili. Tangannya mengurut-urut dada.

   Berkerut dahi Yana. Pelbagai persoalan timbul di benaknya.

   “Jom ikut aku.” Dia tarik tangan Yana keluar.

   Di hadapannya, semua pelajar berkerumun di tangga blok pentadbiran. Yana telan liur. Apa yang terjadi? Kenapa kecoh sangat ni?

   Hujung sandal Yana terpijak darah yang di lantai yang sudah beku. Ketika pelajar lain membuka laluan kepadanya , dia melihat Ain terlentang dengan darah masih belum berhenti keluar dari luka di dahinya. Di sisinya, termos kecil berwarna merah erat di pegangannya.

   Yana terduduk dengan muka pucat tidak berdarah.Termos itu, bukankah ada dibilik?  Kan Ain sudah memberikan termos itu pagi tadi?

   Yana teringat sesuatu. Dia berlari balik ke bilik. Pelajar lain hairan melihat perilakunya. Laili mengekori Ain dari belakang.

   Penutup tong sampah dibuka dengan tangan menggeletar. Bungkusan Maggie kari masih di situ. Jadi malam semalam, yang bagi air panas itu…

Pesanan penaja> jgn buli!! sikit2 tape.hihi


No comments: